“TAK salah nak menyatakan pendirian, tapi berhati-hati dengan mulut awak”.
Demikian teguran Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia, Yusuf Azmi kepada selebriti Azwan Ali yang didakwa mengeluarkan perkataan tidak sopan mengaitkan namanya, baru-baru ini.
Menerusi rakaman di YouTube, Yusuf meluahkan rasa kesal apabila Azwan atau dikenali sebagai Diva AA mengeluarkan kata-kata kesat terhadap gambarnya.
Kata Yusof, beliau berhasrat untuk bertemu dengan pengacara sensasi itu berhubung dengan kenyataan dilemparkan menerusi satu hantaran di media sosial.
“Saya sebenarnya tidak mahu buat video, tapi saya nak jumpa.
“Saya nak tanya adakah dia boleh bezakan binatang dengan manusia dan alasan dia menyatakan khinzir, disamakan dengan kita,” katanya dalam video itu.
Yusof berkata, tindakan Azwan mengeluarkan kata-kata kesat kepada individu yang tidak berkenaan dengannya, adalah salah.
Ini kerana, katanya, biarpun kerjaya Azwan sebagai penghibur tidak bermakna setiap perkara boleh dijadikan sebagai hiburan.
“Kalau berjumpa tidak kena penampar pun sudah kira bagus. Sebab ramai juga sahabat saya geram dengan perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Azwan dalam ciapan Twitter menyelar tindakan Yusof dengan rakannya yang bersalam dan berpelukan dipercayai dalam satu sambutan rumah terbuka.
Pengacara itu berkata tindakan Yusof berpelukan tidak sesuai ketika virus Covid-19 masih menular, selain menggunakan kata-kata kesat dan emoji khinzir.
Mengulas berkenaan itu, Yusuf Azmi menjelaskan isu berpelukan di majlis rumah terbuka diadakan sahabat baiknya sekadar merai kasih sayang dan rindu kepada rakan yang sudah lama tidak bertemu.
Malah katanya, sebelum menghadiri majlis itu beliau sudah melakukan ujian kendiri Covid-19 dan yakin tiada jangkitan. – Malaysiapost

