Rakyat patut hukum PN kerana dosa besar pada negara – Najib

0
1

Najamuddin Mohd Nor

RAKYAT bukan sahaja perlu menghukum Pakatan Harapan (PH), malah Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat patut menghukum PN kerana “dosa besarnya” kepada negara.

Ini kerana dakwanya, gabungan tersebut menggunakan alasan Covid-19 bagi menyelamatkan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tiada majoriti ketika itu.

Berbanding PH yang menipu dan tidak mengotakan janjinya kepada rakyat ketika menjadi kerajaan, Najib menjelaskan, ada menteri memberitahu dan mengaku kepadanya yang alasan Covid-19 digunakan kerajaan PN bagi mengelak undi tidak percaya di Parlimen.

“Mereka mesti hukum PN juga sebab tipu nak lawan Covid-19 kena gantung Parlimen. Padahal dia kecut perut nak berdepan dengan Parlimen tiada majoriti. Itu sebenarnya.

“Ini bukan saya cakap. Ini saya tanya sendiri menteri itu, dia mengaku, saya tak nak sebut nama dia, dia mengaku depan saya tujuan dia ialah untuk selamatkan kerajaan dari undi di Parlimen, bukan nak lawan Covid.

“Maknanya mereka dah tipu rakyat, tipu Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika berucap pada Konvensyen BN di WTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Najib berkata, rakyat terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang dalam sejarah negara sehingga gejala bunuh diri mencatatkan rekod yang tinggi.

“PKP paling panjang dalam sejarah Malaysia, sampai ribuan orang hilang kerja, peniaga gulung tikar, bunuh diri paling tinggi dalam sejarah kita.

“Ini semua dosa besar kepada rakyat Malaysia kerana kegagalan menguruskan Covid dan menipu rakyat. Ini sebab kita perlu tolak PN dalam PRU,” katanya.

Muhyiddin telah melaksanakan proklamasi darurat selama enam bulan bermula 12 Januari tahun lalu atas alasan untuk memerangi Covid-19.

Bagaimanapun selepas proklamasi darurat berakhir, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos 2021 susulan hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here