SETELAH tular menderita ‘penyakit misteri’, penceramah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim mengakui enam individu telah tampil bersemuka dan memohon maaf kerana menyihir dirinya.
Beliau berkata, antara enam individu yang tampil memohon maaf, dua daripadanya adalah pasangan suami isteri.
Katanya, pasangan itu mengakui kesilapan mereka sehingga menangis teresak-esak di hadapannya.
Berkongsi antara sebab mengapa ada yang memilih perbuatan keji itu, Ustaz Kazim berkata antara faktor utama adalah perasaan hasad dengki dan rasa tidak puas hati.
“Banyak sebab dan yang saya boleh cerita dia marah sebab saya ceramah ada kata tentang dia dan dia malu.
“Yang kedua datang minta maaf sebab dia marah saya dapat macam-macam dan ada juga sebab perasaan, kalau dia tak boleh dapat saya, orang lain pun tak boleh dapat saya,” katanya dalam siaran langsung Facebook bersama sebuah akhbar.
Beliau kini menjalani rawatan secara tradisional dan moden bagi mengubati penyakit misteri yang hidapinya sejak beberapa tahun lalu.
Sebelum ini, Ustaz Kazim merayu kepada pihak yang mempunyai kepakaran membantu merawat penyakit kulit pada tangannya.
Beliau menerusi hantaran di Facebook turut memuat naik sekeping gambar keadaan kulit tangannya yang ditumbuhi biji-biji hitam serta menggerutu.
Pendakwah itu juga berkata telah mencuba pelbagai jenis rawatan dan cuba menyembunyikan hal itu namun sudah tidak tahan untuk menanggung derita. – Malaysiapost

