Dua fokus keutamaan BN menjelang PRU15 – Tok Mat 

0
1

BARISAN Nasional (BN) menggariskan dua fokus utama bagi memperkukuh gabungan politik itu, seterusnya menjadi pilihan rakyat sekali gus kembali menguasai tampuk pemerintahan negara.  

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penting bagi BN memberi fokus kepada dua perkara itu bagi memastikan kembali gabungan itu mengecapi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.  

“Perjumpaan hari ini sangat penting. Bukan sekadar untuk meraikan ulang tahun BN ke-48, tetapi kerana ini mungkin pertemuan terakhir kita, sebelum menghadapi pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden.  

“Pilihan raya yang akan menentukan masa depan BN dan Malaysia. Justeru, marilah kita duduk bersama melihat secara jujur segala rencana dan pelan kita, sama dalam mengatur persedian menghadapi PRU akan datang.  

“Dua perkara utama, untuk kita fikir dan lunaskan bagi mengecapi kemenangan. Pertama…  bagaimana kita harus memperbaiki, mengukuh dan mencipta semula gelombang gelora jenama BN.  

“Dan kedua…, mengapa pentingnya, untuk kita mesti kembali memerintah dan bagaimana kita boleh melakukannya?” ucapnya.  

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Konvensyen BN sempena sambutan ulang tahun ke-48 pembentukan gabungan itu di WTC, hari ini.  

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, BN wajar menjenamakan semula ‘produknya’ selari peredaran zaman.  

“Setelah 48 tahun, amat wajar kita bertanya, bagaimana harus kita ‘reinvent’ jenama Barisan Nasional ini? Atau sekurang-kurang ‘recalibrate’ apa yang kita ada.  

“Siapa kita, ke mana kita mahu bawa Malaysia, apa lebihnya kita dengan yang lain. Semua ini perkara yang mesti difikirkan dan dihidupkan kembali dengan nafas baharu.  

“Sebabnya mudah. Zaman sudah berubah. Generasi sudah silih berganti. Masakan BN terus terperangkap dengan nostalgia silamnya?” katanya.  

Beliau menegaskan, BN perlu melakukan perubahan dan tidak boleh membiarkan stigma negatif terus dikait dengan gabungan itu.  

“Hanya kerana kita pernah berjaya dahulu, dengan cara sebelum ini, tidak bermakna,   kita akan terus berjaya dengan cara yang sama.  

“Bila saya bertanya,  bagaimana boleh kita mengungkapkan BN, jawapan kebanyakannya ‘standard’. Rata-rata yang saya terima beri jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum. Atau BN adalah parti memerintah. Atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai Umno.  

“Kalau jawapan versi yang lebih teruk pulak, BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.  

“Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status memukau imaginasi,” katanya.  

Justeru, Mohamad menegaskan tanggapan dan persepsi buruk terhadap BN perlu ditepis dan gabungan itu perlu tampil lebih segar bukan sekadar parti gabungan politik.  

“Kerana itu, bagi saya, kita mesti mengungkapkan semula BN ini sebagai ‘sebuah idea’ bukan sekadar sebuah perikatan politik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here