KERAJAAN tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, ia sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini dilaporkan berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
Ismail Sabri mengakui kerajaan mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah beban kos sara hidup mereka, iaitu memperkenalkan semula GST.
“Kerajaan berminat mengembalikan GST kerana mahu mengembangkan asas pendapatannya dan menanggung beban subsidi awam,” katanya memetik Berita Harian.
Malaysia beralih kepada GST semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, namun kadar enam peratus dikritik hebat pembangkang dan kumpulan pengguna, sekali gus dikatakan antara penyumbang kekalahan parti itu dalam PRU14.
Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran selepas Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan, membatalkan GST sebagai memenuhi janji pilihan raya dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, kerajaan sedar persepsi negatif terhadap GST, tetapi mempunyai pilihan terhad untuk menambah tabungan kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan kehilangan RM20 bilion (kira-kira AS$4.6 bilion) hasil tahunan apabila GST dimansuhkan dan menggantikannya dengan SST.
“Tiada negara di dunia yang kembali daripada GST kepada SST, kecuali Malaysia,” katanya dalam temubual itu.
Beliau berkata, kerajaan akan merangka cara untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan GST dan kutipan cukai yang telus.
“Jika kita mahu memperkenalkan semula GST, kita perlu mendidik rakyat untuk menerimanya,” katanya.
Beliau menambah kerajaan akan menyasarkan untuk kadar tidak terlalu tinggi sehingga membebankan rakyat, tetapi tidak terlalu rendah sehingga menggagalkan tujuan mengembangkan hasil cukai.
Bank Negara (BNM) baru-baru ini menyokong idea mengembalikan semula GST kerana dengan berbuat demikian akan meringankan beban kewangan ditanggung kerajaan. – Malaysiapost

