HASRAT pelakon veteran Raisuddin Hamzah untuk bertemu dengan wanita seiras anaknya, Allahyarham Siti Sarah akhirnya termakbul di ulang tahun kelahirannya, baru-baru ini.
Video tular di laman TikTok menunjukkan wanita dikenali sebagai Emy dikatakan mempunyai wajah seiras dengan Siti Sarah.
Sebelum ini Raisuddin pernah menyatakan ingin bertemu dengan Emy, dan bagi memenuhi permintaan itu Emy bersetuju berjumpa dengan bapa Allahyarham Siti Sarah pada hari ulang tahunnya.
Dalam pertemuan itu, nyata Raissudin tergamam melihat Emy berjalan masuk ke ruangan makan sambil memegang kek.
Mereka juga sempat mengambil gambar kenangan bersama dan dilihat anak sulung Allahyarham Siti Sarah turut bersama-sama dalam pertemuan itu.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen sebak dan berpendapat perjumpaan keluarga itu dengan Emy boleh mengubat kerinduan pada Allahyarham Siti Sarah.
“Yang kata tak sama tu memang laa tak akan nak sama betul.. sekurang-kurangnya dia dapat menjadi asbab pengubat rindu untuk ayah dan anak Sarah.”
“Nak iras muka dan pakaian, ayah dia mula-mula pun terkejut.. tapi, kena reda arwah dah tak ada.. yang ada hanya seiras saja buat pengubat rindu.”
Allahyarham Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat Covid-19. – Malaysiapost

