PEMBERIAN suntikan dos pertama bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kepada kanak-kanak yang telah mencapai usia lima tahun berakhir, hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, bermula 1 Jun hingga 31 Januari 2023, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menawarkan vaksin kepada kanak- kanak berusia lima tahun pada atau selepas 31 Mei 2022.
Katanya, pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan tersebut boleh dilakukan melalui Klinik Kesihatan dan klinik swasta yang masih beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Semenjak pelancaran PICKids pada 3 Februari 2022, seramai 1,720,411 (48.4 peratus) kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 dan 1,171,888 (33.0 peratus) telah melengkapkan dua dos.
“Adalah dianggarkan 548,523 kanak-kanak akan melengkapkan dos dua mereka selewat-lewatnya 30 Ogos 2022,” menurut KKM dalam kenyataan, hari ini.
Dalam masa sama, KKM memaklumkan ibu bapa yang berhasrat untuk memberi vaksinasi kepada anak yang baru mencapai lima tahun dinasihatkan mendaftar dan membuat tempahan janji temu melalui aplikasi MySejahtera.
Selain itu, katanya, ibu bapa juga boleh membuat janji temu secara terus di Klinik Kesihatan KKM. – Malaysiapost

