POLIS menahan seorang pemain bola sepak liga tanah air bagi membantu siasatan kes rogol remaja perempuan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), malam Ahad lalu selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa berusia 18 tahun.
Beliau berkata, mangsa yang juga seorang jurujual kain dan tudung mendakwa ketika kejadian jam 12.30 tengah hari itu, dia berada di rumahnya di Kampung Kijang Jalan PCB, sebelum keluar membuang sampah.
“Mangsa mendakwa didatangi suspek yang tiba-tiba menolaknya dari belakang sebelum mengheretnya ke katil dalam bilik tidur.
“Mangsa cuba melawan dan menjerit namun ketika kejadian tiada ahli keluarga dan dia yang tidak berdaya akhirnya dirogol suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, hasil siasatan mendapati, mangsa mengenali suspek yang juga pelanggan tetap kedai makan milik emaknya.
Katanya, mangsa juga mendakwa pernah menerima gambar dan mesej berbaur lucah melalui WhatsApp daripada suspek tahun lalu ketika masih bersekolah.
“Suspek ditangkap pada hari sama di Kampung Kijang, Jalan PCB. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasil pemeriksaan mengesahkan terdapat satu kesan koyakan baharu.
“Polis turut merampas baju dan seluar digunakan suspek semasa kejadian jenayah itu dilakukan,” katanya.
Muhamad Zaki berkata, suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 2 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – Malaysiapost

