PEMIMPIN Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard membuat permohonan maaf kepada Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung dakwaan fitnah yang dibuatnya terhadap pemimpin DAP itu dalam dua hantaran berasingan di laman Facebook pada 2019.
Beliau membuat pernyataan meminta maaf itu di laman Facebook rasminya ‘Che’GuBard Original’ pada Sabtu lalu dengan mengakui bahawa dakwaan dibuat terhadap dan berkaitan dengan Tony Pua melalui dua hantaran itu gagal dibuktikan.
“Saya juga mengakui bahawa siaran Facebook pertama dan kedua tersebut dan dakwaan-dakwaan tersebut hanya berasaskan maklumat individu dan mungkin boleh dianggap adalah satu ciptaan yang palsu, yang disiarkan untuk tujuan politik sahaja.
“Setelah timbul pertikaian mengenainya, saya telah cuba meminta dokumen-dokumen yang berkaitan untuk membuktikannya, namun ia gagal diberikan kepada saya. Maka saya telah memadamkan dan menarik balik semula semua yang telah ditulis dan diterbitkan sebelum ini.
“Maka sehubungan dengan ini saya meminta maaf secara terbuka, menyesal dengan apa yang berlaku dan mengakui gagal membuktikan apa yang dibangkitkan,” katanya.
Badrul Hisham berkata, beliau juga menarik balik siaran Facebook pertama dan kedua tersebut serta dakwaan-dakwaan yang dibuat secara keseluruhan dan sepenuhnya.
“Saya juga amat menyesali tindakan saya tersebut dan ingin memohon maaf dengan sepenuhnya kepada Tony Pua dan DAP atas perkataan-perkataan yang mungkin boleh disifatkan fitnah dan dakwaan-dakwaan tersebut.
“Saya juga mengakujanji supaya tidak mengulangi, menerbitkan atau menyiarkan semula perkataan-perkataan fitnah dan/atau dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya.
Badrul Hisham mengaku menulis hantaran siaran yang bertajuk “Siri Pembunuhan Angsa Bertelur emas : Sime Darby” pada 23 Ogos dan 5 Sept 2019, daripada maklumat yang tidak disahkan dan kemudiannya didapati mengandungi dakwaan fitnah terhadap Pua.
Pua pada Mac 2021 memfailkan saman fitnah terhadap Badrul Hisham berhubung kenyataan fitnah berkenaan.
Sementara itu dalam satu lagi hantaran di Facebook pada Sabtu lalu, beliau mendakwa menjadi mangsa permainan politik oleh ‘kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad’ berhubung dua hantaran Facebook berunsur fitnah terhadap Tony Pua itu.
Menurutnya, dia diminta membuat permohonan maaf dan menarik tuduhan oleh peguam yang mewakilinya bagi kes saman oleh Tony Pua ketika itu kerana katanya dokumen pembelaan dan sebagainya tidak sesuai dikeluarkan dalam situasi politik sekarang.
“Saya sangat kecewa dan agak marah. Saya mangsa ‘game politik’. Saya mengatakan dengan jelas kepada Tun Daim (bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin) melalui Datuk Vijay (peguam) bahawa saya akan selesaikan sendiri dan sangat kecewa.
“Saya berada di media sosial sudah lebih 20 tahun, saya sangat menjaga etika namun kali ini saya jadi mangsa kerana percaya Tun Daim (Kumpulan Mahathir).
“Jawapan tidak boleh beri dokumen kerana situasi politik yang saya kira sangat tidak bertanggungjawab,” katanya. – Malaysiapost

