PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan wartawan dan pengamal media, sempena Hari Wartawan Nasional 2022 (Hawana 2022) yang disambut hari ini.
Beliau berkata, wartawan dan pengamal media bertindak sebagai penyebar suara dalam Keluarga Malaysia Malaysia.
“Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Wartawan Nasional 2022 (HAWANA 2022) amat tepat dengan sejarah kewartawanan negara yang bermula di negeri bandaraya bersejarah itu.
“Terima kasih atas peranan dan sumbangan wartawan dalam pembangunan negara bangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ismail Sabri berkata, beliau amat menghargai sumbangan wartawan dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan rancangan pembangunan untuk Keluarga Malaysia.
“Selamat Hari Wartawan Nasional 2022. Suara Jelata, Aspirasi Negara,” katanya.
Tanggal 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.
Kali pertama Hari Wartawan Nasional diadakan adalah pada 11 April 2018, tahun sama akhbar Utusan Melayu menyambut ulang tahun ke-80.
Pada 30 November 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – Malaysiapost

