Wartawan, pengamal media wira tidak didendang – Agong

0
2

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan penghargaan terhadap sumbangan wartawan dan pengamal media di Malaysia sempena Hari Wartawan Nasional 2022, yang disambut hari ini.

Seri Paduka bertitah, penghargaan itu berdasarkan komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh wartawan dan pengamal media dalam menjalankan tugas menyampaikan maklumat dan melaporkan berita yang tepat dan terkini sama ada menerusi televisyen, surat khabar, radio mahupun portal-portal dalam talian.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada wartawan dan pengamal media atas pengorbanan masa, tenaga, buah fikiran dan keselamatan diri tanpa mengira cuaca dan situasi dalam menjalankan tugas mendapatkan maklumat,” menurut kenyataan Istana Negara di Facebook.

Mengambil kira ledakan maklumat di internet dan media sosial, Seri Paduka menasihati wartawan dan pengamal media sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan serta memastikan integriti dan akauntabiliti dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

Baginda bertitah, meskipun kerajaan menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak, khususnya wartawan dan pengamal media, mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan.

Menyifatkan sebagai wira yang tidak didendang, Seri Paduka bertitah, peranan wartawan dan pengamal media juga amat penting dalam pembangunan negara dan memupuk perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama.

“Seri Paduka mendoakan semoga wartawan dan pengamal media sentiasa dilimpahi kejayaan berterusan dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dalam menjalankan tugas,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here