Eco-Shop naik harga: Netizen keliru RM2.40 ke RM2.60?

0
2

KEDAI harga jimat, Eco Shop yang dilaporkan bakal menaikkan harga baharu sebanyak 20 sen secara berperingkat bermula 1 Jun ini, menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna.

Menerusi beberapa notis yang tular di laman sosial, perubahan itu membabitkan dua harga berbeza iaitu RM2.40 dan RM2.60, mengundang pertikaian orang ramai yang keliru dengan kadar kenaikan sebenar.

Ia susulan notis yang tular awal bulan lalu, melaporkan kenaikan harga sebanyak 20 sen itu akan menjadikan barangan dijual di kedai popular tersebut menjadi RM2.40 berbanding RM2.20 sebelum ini.

Bagaimanapun, menerusi ruangan komen, ada netizen yang mendakwa kenaikan RM2.60 sen itu hanya melibatkan cawangan Eco-Shop di Sabah dan Sarawak sahaja, sementara Semenanjung RM2.40.

Selain itu, ada juga netizen yang mendakwa kenaikan itu akan menyebabkan premis yang dikenali sebagai ‘saka’ terutama kepada kaum ibu, akan terus hilang daya tarikan.

Suhana Lah berkata: “Masa harga 2.40 tak masuk lagi kedai eco ni… Tup-tup nak naik 2.60.”

Hani Suraya: “Ini harga baru untuk Sabah dan Sarawak. Semenanjung harga baru RM2.40.”

Fazrina Abd Rashid berkata: “Jangan la…Naik harga…Kekal kan la…Kesian pada yang tak mampu.”

Puan Sri Wada: “Sabah Sarawak laaa.. Semenanjung ‘start’ 1 Jun 2.40.”

Rata-rata pengguna turut meluahkan rasa kecewa kerana walaupun hanya naik 20 sen bagi setiap barang, namun kadar itu tetap dapat dirasakan terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah.

Untuk rekod, kali terakhir notis perubahan harga Eco-Shop diumumkan adalah pada 1 Disember 2021, dengan perubahan harga dari RM2.10 kepada RM 2.20 di Semenanjung. Manakala RM2.30 kepada RM2.40 di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, tinjauan Malaysiapost di Facebook rasmi Eco-Shop mendapati tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung kenaikan harga berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here