Wartawan juga ‘front liner’, berdepan ancaman keselamatan – Zahid

0
2

MALAYSIA bukan negara konflik, namun wartawan kadang kala berdepan ancaman  yang mengancam keselamatan dirinya. 

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam situasi tertentu wartawan terpaksa mengenepikan keselamatan diri mereka untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai seperti yang berlaku ketika negara menghadapi ancaman pandemik Covid-19 lalu. 

“Semasa pandemik Covid-19, wartawan antara mereka yang berada di barisan hadapan. Menyampaikan apa yang sedang, telah dan akan berlaku untuk pengetahuan anggota masyarakat.

“Wartawan turut memainkan peranan dalam memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional. Mewujudkan suasana menghormati, mempercayai dan memahami dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini. 

Sempena Hari Wartawan Nasional 2022 hari ini, Zahid menjelaskan, tarikh 29 Mei setiap tahun diiktiraf Hari Wartawan Nasional adalah hasil inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) bermula tahun 2018.

“Saya mengucapkan selamat Hari Wartawan Nasional yang disambut pada 29 Mei 2022.

“Antara lain bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan wartawan Malaysia dalam proses membina negara. Begitu juga dalam mendokong kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan masyarakat,” katanya. 

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menelusuri perkembangan zaman, dunia kewartawanan tidak ketinggalan berdepan cabaran-cabaran baharu.

“Kepesatan teknologi maklumat dan media sosial mendorong kepada persaingan “real-time reporting” sekali gus mendambakan keseimbangan antara profesionalisme dan kepantasan melapor yang terkini.

“Menyampaikan maklumat yang telus, adil dan saksama disebalik tuntutan masa dan editorial.

“Semoga wartawan Malaysia terus berdedikasi dalam menyampaikan laporan yang telus dan seimbang,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here