Warga emas rugi setengah juta terjerat cinta doktor palsu di Facebook

0
1

SEORANG wanita warga emas berusia 68 tahun berputih mata apabila kerugian sebanyak RM565,700 gara-gara terpedaya dengan sindiket Love Scam. 

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, mangsa yang bekerja sebagai penjaga stor di sebuah kilang berkenalan dengan seorang lelaki sejak September tahun lalu menerusi Facebook.

Mangsa didapati menjalin hubungan cinta dengan lelaki berkenaan yang mendakwa bekerja sebagai seorang doktor yang berkhidmat di Iraq.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa dia ingin pulang ke Miami, Florida, Amerika Syarikat dan meminta bantuan mangsa memasukkan wang kepada pihak United Nation bagi menamatkan kontraknya sebagai doktor di Iraq.

Osman berkata, siasatan mendapati mangsa hanya berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan tidak pernah berjumpa dalam tempoh tersebut.

“Suspek turut berjanji akan menyerahkan wang sebanyak RM5 juta sekiranya dia tiba di negara ini.

“Mangsa bersetuju dan melakukan 69 transaksi ke 13 akaun bank berbeza milik suspek.

“Semua transaksi dilakukan melalui mesin di sebuah bank cawangan Taiping bermula pada 04 Oktober 2021 hingga 21 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Osman berkata, mangsa menyedari ditipu telah membuat laporan polis semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here