VETERAN DAP Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyekat hukuman terhadap penjawat awam yang menggunakan bahasa Inggeris, seperti diarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan pendapat bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz yang menyeru pembetulan dan hukuman dalam menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam, termasuk syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“(Mohd) Zuki mahu melihat pematuhan penuh dengan dasar kerajaan memandangkan Perdana Menteri telah mengumumkan supaya Bahasa Kebangsaan ini digunakan bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
“Walaupun G25 (sekumpulan orang Melayu yang berpengaruh) menyokong peranan dan kepentingan Bahasa Malaysia untuk mewujudkan perpaduan di antara pelbagai kaum yang membentuk negara kita, kumpulan tersebut menekankan kepentingan untuk mengiktiraf Bahasa Inggeris sebagai bahasa universal komuniti antarabangsa dalam pelbagai aspek kehidupan seharian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kit Siang juga memetik kenyataan Rafidah yang berkhidmat sebagai Menteri MITI dari 1887 hingga 2008 telah meminta semua komunikasi dibuat dalam bahasa Inggeris untuk memastikan perkhidmatan yang lancar dan berkesan, dan keputusan ini diluluskan oleh Kabinet pada masa itu.
Beliau berkata, Rafidah juga menekankan kebolehan pegawai untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris merupakan penggerak dan faktor utama yang menarik banyak pelaburan berkualiti tinggi, terutamanya dalam sektor-sektor strategik yang disasarkan.
“Dia memberikan amaran yang sekiranya pemikiran ‘melihat ke dalam’ ini berterusan dengan hukuman dikenakan dan Malaysia memilih untuk tidak berkomunikasi dengan dunia di dalam bahasa Inggeris, kita akan menjadi sebuah ‘pariah birokrasi di ASEAN, yang tertinggal di belakang akibat pelbagai masalah’,” ujarnya.
Terdahulu, Rafidah Aziz membidas tindakan kerajaan berhubung penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan penjawat awam, termasuk membabitkan urusan rasmi di peringkat antarabangsa.
Katanya, kerajaan sepatutnya meningkatkan tahap kemahiran kakitangan awam dalam penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain yang berkaitan.
Ia berhubung kait dengan kenyataan Mohd Zuki yang berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti tindakan yang boleh diambil ke atas pihak mengambil mudah arahan berkaitan pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan itu.
Katanya, tindakan korektif dan punitif, selain teguran berdasarkan audit bahasa itu bukan bertujuan menakut-nakutkan, sebaliknya bagi memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dicabul penggunaannya sewenang-wenangnya. – Malaysiapost

