KETUA Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa terdapat media yang salah melaporkan kenyataannya berhubung terdapat Ahli Parlimen lain yang akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Beliau berkata, kenyataannya berhubung perkara itu baru-baru ini disalah tafsir sehingga menyimpang daripada maksud yang sebenar mengenai Ahli Parlimen dari mana-mana parti sertai PBM.
Menurutnya, ada media membuat laporan bahawa beliau berkata: “Saya dengar YB Xavier Jayakumar (Ahli Parlimen Kuala Langat) akan menyertai parti (PBM) tetapi saya tidak pasti jika ada pemimpin lain dari Bersatu (selain Zuraida) juga akan keluar untuk menyertai parti baharu”
“Petikan ini pula kemudian dipetik oleh platform lain, dan ada yang spin sehingga menyimpang jauh dari apa yang saya kata.
“Entah siapa yang mencipta bahagian hujung ayat tersebut sebab itu bukan perkataan saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut berkongsi video komen sebenarnya berhubung perkara berkenaan.
“Petikan yang betul ialah: “Saya ada dengar mengenai YB Xavier, tapi yang lain-lain saya belum.”.
“Yang saya maksudkan ialah saya belum dengar MP (Ahli Parlimen) dari mana-mana parti yang akan menyertai PBM dan saya nak tunggu lihat kalau betul-betul berlaku dulu sebelum jawab soalan yang ditanya. Saya tak suka komen ke atas spekulasi.
“Saya juga telah semak dan nama YB Xavier tiada dalam daftar keahlian Bersatu,” katanya.
Wan Saiful menegaskan komen beliau berhubung perkara itu adalah berbentuk umum tanpa merujuk khusus kepada mana-mana parti, dan beliau sendiri tidak mendengar bahawa ada Ahli Parlimen Bersatu akan keluar.
“Tulisan yang selain dari petikan sebenar seperti dalam video adalah salah, dan petikan kenyataan seharusnya tepat seperti yang sebenarnya disebut.
“Boleh rujuk pautan video sidang media di https://youtu.be/UJBD14Ew4ho,” katanya. – Malaysiapost

