Pelaburan asing: Rangka strategi, manfaat Keluarga Malaysia di luar bandar

0
1

HUBUNGAN Malaysia dengan Jepun berjaya dinaiktaraf daripada ‘Strategic Partnership’ kepada ‘Comprehensive Strategic Partnership’ hasil lawatan kerja rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara itu. 

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pertemuan antara Ismail Sabri dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo membolehkan hubungan itu dinaiktaraf. 

“Kesediaan Perdana Menteri Jepun untuk menaiktaraf hubungan ini adalah satu indikasi bahawa mereka meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap kerajaan Malaysia yang dipimipin Datuk Seri Ismail Sabri. Termasuklah kesediaan pelabur-pelabur asing yang bersetuju untuk memulakan pelaburan di Malaysia dengan segera.

“Sekalung tahniah juga diucapkan kepada Perdana Menteri kerana dalam Persidangan NIKKEI, beliau dengan tegas menyuarakan pendirian mengenai peperangan Rusia- Ukraine yang memberi kesan kepada negara-negara miskin.

“Ia berikutan impak rantaian turut dirasai Malaysia kerana ia akan menjejaskan bekalan makanan. Pendirian kerajaan Malaysia jelas bahawa peperangan bukanlah satu jalan penyelesaian tetapi perlu diselesaikan secara damai melalui meja rundingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Abdul Rahman menjelaskan, pendirian Perdana Menteri mengenai Laut China Selatan kekal sebagai Zon Dagangan Bebas dengan sebarang pencerobohan tidak dibenarkan membuktikan bahawa tiada kompromi dalam isu kedaulatan negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, limpahan kemasukan pelabur asing juga mampu menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi yang akan memberi manfaat kepada negara.

Justeru, Abdul Rahman berkata, bagi memastikan keseimbangan ekonomi antara bandar dan luar bandar dapat dilaksanakan, satu pelan strategi terbaik akan dirangka bagi memastikan masyarakat luar bandar juga mendapat manfaat.

“Faktor pendidikan, kemahiran, kesamaan ruang serta peluang perlu dititikberatkan dalam usaha menangani cabaran ekonomi di kawasan luar bandar.

“Saya bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan melihat dengan lebih terperinci strategi yang boleh dirangka supaya Keluarga Malaysia secara keseluruhannya turut merasai pertumbuhan ekonomi yang semakin berkembang di negara kita,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here