SEMUA pihak agar tidak “menangguk di air keruh” dengan menekan Perdana Menteri, untuk mengugurkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar Bersatu semalam.
Pemimpin Bersatu yang juga Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Zahid Md Arip berkata pelbagai pihak juga diingatkan agar tidak mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantik ‘orang itu dan ini’.
“Parti-parti yang menganggotai kerajaan boleh berunding dengan Perdana Menteri, akan tetapi dalam soal pembentukan dan penyusunan Kabinet.
“Ia merupakan hak mutlak Perdana Menteri yang harus dihormati oleh semua pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Zahid berkata, tindakan Zuraida mengumumkan keluar Bersatu bagi menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) menimbulkan pelbagai reaksi.
Menurutnya, turut mengumumkan hasratnya untuk bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan soal peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet.
“Ini bermakna, beliau masih lagi seorang anggota Kabinet dan masih menjadi penyokong kepada kerajaan yang sedia ada,” katanya lagi. – Malaysiapost
