RUU Anti Lompat Parti tak logik dari segi perundangan

0
1

TENGKU Razaleigh Hamzah menyifatkan Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini tidak akan berjaya.

Demikian telahan Ahli Parlimen Gua Musang itu kerana menyifatkan RUU yang akan dibentang tidak logik dari segi perundangan.

Tambahnya, RUU tersebut adalah satu bentuk sekatan yang boleh menimbulkan huru-hara atau kekacauan kepada negara, lapor Utusan Malaysia.

“Akta yang dibuat di Parlimen untuk mencegah ahli politik lompat parti tidak akan berhasil kerana dalam perlembagaan, hak seseorang memilih pandangan dan parti yang dikehendakinya tidak boleh diusik.

“Jika tiba-tiba parti kita terbubar, di mana kita nak pergi apabila ada akta tidak boleh lompat parti? Tidak ada logik dari segi perundangan.

“Dia (kerajaan) tak boleh buat halangan dan sekatan, kalau tiba-tiba berlaku ‘kecemasan’ tetap akan berlaku lompat parti untuk tubuh kerajaan baharu atau keadaan akan jadi huru-hara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Razaleigh yang juga veteran Umno berpandangan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak sesuai diadakan ketika rakyat dan negara berdepan krisis ekonomi serta makanan.

“Saya rasa parti yang berkuasa sekarang menghadapi masalah kerana tak boleh selesai soal makanan untuk rakyat.

“Rakyat mesti marah, rakyat cari jawapan yang senang dan menyalahkan kerajaan kerana tak tolong mereka.

“Tetapi bukan mudah nak selesai masalah kerana kita perlu cari pakar-pakar untuk duduk semeja dan cuba selesaikan masalah itu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here