MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa aPerdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan Sidang Khas Parlimen segera bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Menerusi kenyataan malam tadi, Majlis Presiden PH berkata sebelum ini Perdana Menteri beberapa kali memberi komitmen untuk membahaskan RUU tersebut, maka janji itu harus ditunaikan.
Gesaan itu hadir ketika seorang lagi Ahli Parlimen, kali ini Datuk Seri Zuraida Kamaruddin melompat parti, iaitu meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) semalam.
“Selain RUU, Sidang Khas Parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.
“Juga harus dibincangkan mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik Covid-19 melanda, terpalit dengan rasuah.
“Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan,” katanya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Presiden Upko, Datuk Seri Madius Tangau. – Malaysiapost

