MENTOR Usahawan, Datuk Dr Azizan Osman berasa bangga dan terharu melihat kejayaan anak didiknya, iaitu Pengasas Eskayvie Kartika Wati Mohamed.
Menurut Azizan, kartika merupakan salah seorang peserta yang dibimbing pada 2016 dengan jualan pada mulanya RM2 juta, kini menyaksikan transformasi kepada RM100 juta hanya dalam tempoh lima bulan tahun ini.
Katanya, beliau melihat sendiri usaha dan komitmen pengasas Eskayvie itu dalam membina bisnesnya hingga ke peringkat ini.
“MasyaAllah tabarakallah, rasa bangga dan terharu sebab orang mana tahu apa yang di belakang tabir. Orang tahu dua benda, kau lingkup dan ada yang gembira manakala kau berjaya ada yang dengki.
“Hari ini nak jumpa orang yang bahagia bila tengok orang lain bahagia bukan mudah sedangkan mereka tak tahu saat usahawan ini hilang keyakinan, arah, tersekat dan tak tahu apa nak buat lagi,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Tambah Azizan, usahawan jutawan yang dibimbingnya ada juga yang menghantar mesej, kadang-kadang tengah malam atau tak kira masa untuk dapatkan jawapan atau penyelesaian kepada situasi dihadapi.
“Hari ini saya berbangga dengan satu lagi usahawan jutawan RichWorks pecah rekod jualan RM100 juta pertama dan nak lihat ramai anak bangsa usahawan kami pecah jualan RM100 juta pertama dan seterusnya. Amin!
“Saya nak lahirkan lebih ramai bangsa usahawan, lantaklah ‘haters’ nak cakap apa. Mereka tak membantu pun bangsa kita!,” katanya.
Sementara itu, Kartika berkata, Eskayvie dapat memulakan perjalanan baharu apabila beliau sedar untuk menurunkan keegoan dan pergi menuntut ilmu dengan Azizan, yang memberi dorongan serta kepastian tentang apa perlukan dalam perniagaan pada penghujung 2016.
“Adanya mentor yang memberikan tunjuk ajar, kepastian dan hala tuju kini Eskayvie mampu bertapak selama 13 tahun di dalam industri.
“Alhamdulillah, Allah datangkan seorang guru yang berilmu dan mempunyai pengetahuan luas untuk bantu membangunkan Eskayvie,” katanya. – Malaysiapost

