PDRM bantu JPJ tangani tonto

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited dalam membantu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menangani ancaman aktiviti ‘tonto’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata polis mengesan beberapa aktiviti tonto yang menjadi orang tengah sebagai pemberi maklumat bagi menggagalkan tugas penguatkuasaan JPJ.

Menurutnya, tonto bertindak mengekori dan mengawasi kenderaan JPJ bagi tujuan memaklumkan lokasi semasa agensi penguatkuasa berkenaan.

“Tindakan tonto yang memerhati dan mengekori setiap pergerakan anggota JPJ semasa menjalankan tugas penguatkuasaan memberi cabaran dalam agensi berkenaan menjalankan tugas.

“Ancaman tonto ini telah menimbulkan persepsi negatif dan memberi kesukaran kepada JPJ untuk mengambil tindakan terhadap kenderaan yang melanggar undang-undang jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sepanjang Januari 2021 hingga Mei 2022, sebanyak lima laporan polis telah dibuat mengenai aktiviti pembabitan tonto dan dua kertas siasatan telah berjaya dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Justeru, PDRM mengingatkan orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sindiket tonto dengan melindungi dan memberikan maklumat kepada kenderaan yang melakukan kesalahan.

“Perbuatan itu adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“PDRM sentiasa komited dalam membantu JPJ dan penguatkuasa lain sekiranya wujud ancaman semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here