Ibu parah ditikam anak

0
2
Polis

SEORANG wanita parah di bahagian dada kirinya selepas ditikam anak lelakinya dengan sebilah pisau di kediaman mereka di Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Datuk Mohd Nor Yazhid Idris berkata kejadian berlaku jam 11.45 malam ketika mangsa sedang tidur bersama suspek di dalam sebuah bilik di rumah mereka.

Katanya, polis Pasir Puteh menerima panggilan telefon daripada pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian pada jam 5.30 pagi semalam, memaklumkan menerima seorang pesakit wanita yang mengalami kecederaan akibat ditikam dengan pisau.

“Siasatan awal mendapati, wanita itu telah ditikam oleh anak lelakinya menggunakan sebilah pisau yang diambil dari dapur.

“Remaja itu dipercayai demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada ibunya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Nor Yazhid, mangsa yang sedang tidur, secara tiba-tiba terasa sakit di bahagian dada sebelum mendapati sebilah pisau tertusuk pada bahagian tersebut.

“Mangsa cuba memanggil suaminya yang tidur di ruang tamu namun, tidak sedarkan diri selepas mengeluarkan sendiri pisau tersebut pada dadanya,” katanya.

Beliau berkata, suami mangsa membawa mangsa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk rawatan lanjut.

Katanya, berdasarkan laporan doktor, kesan tikaman tersebut telah menyebabkan bahagian paru-paru kiri mangsa bocor sehingga mengakibatkan wanita itu kehilangan darah yang banyak sebelum dia dirujuk ke HUSM.

“Polis telah menahan remaja tersebut dan akan mendapatkan perintah reman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here