Cacar monyet: Jangan pandang enteng, jadikan Covid-19 sebagai iktibar – Zahid

0
2
zahid hamidi

MALAYSIA wajar melaksanakan pencegahan lebih ketat untuk membendung risiko penularan penyakit cacar monyet daripada merebak ke negara ini.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia perlu mengambil iktibar kesan keangkuhan kerajaan terdahulu yang memandang enteng risiko penularan Covid-19 ketika awal kemunculan wabak.

Beliau berkata, walaupun risiko penularan cacar monyet dikatakan tidak seganas Covid-19 kerana kaedah penularan penyakit itu dari manusia ke manusia adalah terhad, namun langkah pencegahan harus diambil.

“Tetapi ini tidak boleh menjadi alasan untuk kita ambil mudah kerana ia telah pun melewati beberapa negara termasuk Kanada, Sepanyol, Portugal, Sweden, Itali, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland dan Austria.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) malah meramalkan lebih banyak kes penyakit cacar monyet dikesan melalui perluasan tindakan pengawasan di negara di mana penyakit itu lazimnya tidak ditemui,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, walaupun WHO tidak mengesyorkan sekatan perjalanan dengan mana-mana negara, tetapi saringan ketat di semua Pintu Masuk Antarabangsa sedikit sebanyak akan membantu.

“Begitu juga berhubung mekanisme memantau individu dari negara terlibat yang telah memasuki Malaysia benar-benar bebas penyakit cacar monyet walaupun lepas saringan.

“Ia kerana tempoh inkubasi iaitu masa daripada jangkitan kepada mula bergejala cacar monyet kebiasaannya antara tujuh hingga 14 hari atau dalam lingkungan masa di antara lima hingga 21 hari,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, golongan itu perlu dipastikan mendapatkan rawatan segera seawal gejala bagi memastikan tidak berlaku penularan terhadap orang lain.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan belum menerima notifikasi berkenaan kes membabitkan individu yang dijangkiti virus cacar monyet (monkeypox), di negara ini.

Dalam satu kenyataan, KKM berkata, ini termasuk kes membabitkan kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus cacar monyet seperti dalam mesej berserta gambar yang ditularkan dalam media sosial. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here