KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata, usaha kerajaan untuk memerangi kartel ayam hanya sia-sia sekiranya sekiranya permasalah akar berhubung isu terbabit tidak diselesaikan secara tuntas.
Beliau berkata, situasi kenaikan harga ayam ketika ini berlaku kerana kerajaan gagal memenuhi keperluan penternak terutama soal pemberian subsidi makanan ternakan.
“Apa jadi dengan janji subsidi makanan ternakan kepada penternak yang diumumkan pada Februari lepas?
“Malah, media melaporkan pemain industri ayam telah menutup bekalan bagi membantah kelewatan pemberian subsdidi berkenaan,” katanya menerusi video TikTok.
Beliau berkata, hakikatnya subsidi yang dijanjikan kerajaan kepada penternak itu lambat disalurkan, selain ada juga tuntutan dari Februari masih belum dibayar.
“Perdana Menteri cakap kesal dengan tindakan penternak yang menghentikan pengeluaran (ayam), namun isu lambat turun (beri) subsidi tidak pula dibangkitkan,” katanya.
Dalam pada itu, Akmal berkata, tindakan kerajaan menghapuskan permit import (AP) adalah sesuatu yang baik, namun soal utama yang perlu diberi perhatian adalah berkaitan jaminan keselamatan makanan negara.
“Akhirnya retorik terbaru nak hapuskan kartel ayam. Tetapi kalau kerajaan tidak agresif selesai akar pemasalah ‘meetinglah’ hari-hari, ugutlah macam mana pun masalah tidak akan selesai.
“Justeru, saya gesa kita agresif hasilkan dedak domestik, percepatkan subsidi kepada penternak seperti mana yang dijanjikan pada PRN Johor,” katanya.
Selain itu, beliau juga berharap tidak berlaku ketirisan dana sekiranya kerajaan melaksanakan projek ternakan ayam dalam skala besar.
“Kepada Pak Menteri selesaikan punca masalah sebanar, segera laksana janji,” katanya. – Malaysiapost

