‘Duit dalam akaun saya lebih dari cukup untuk bayar kad kredit’ – Zahid

0
2

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, baki wang dalam akaun bank beliau adalah lebih daripada mencukupi untuk membayar kad kredit peribadinya.

Ahmad Zahid berkata, bagaimanapun bekas setiausaha eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, melakukan kecuaian dengan menggunakan cek Yayasan Akalbudi yang diasaskan beliau, untuk membayar kad kredit berkenaan.

“Mazlina sendiri mengaku melakukan kecuaian ketika membuat pembayaran itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam beliau, Hamidi Mohd Noh, berhubung 12 pertuduhan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi yang dihadapinya.

Terdahulu, Ahmad Zahid dirujuk dengan baki wang dalam akaun Maybank milik beliau antara 2014 dan 2015 yang menunjukkan baki minimum sebanyak RM100,000 serta baki maksimum RM600,000.

Penyata kad kredit pula menunjukkan bil kad kredit beliau dalam tempoh sama adalah minimum RM600 dan maksimum RM215,000.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadi beliau, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadi beliau, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.

Beliau berkata, kecuaian dilakukan Mazlina itu membabitkan transaksi yang menunjukkan terdapat lebihan dan kekurangan pembayaran kad kredit yang dibuat menggunakan duit yayasan terbabit.

Katanya, Mazlina sendiri melalui keterangan di mahkamah mengaku cuai ketika mengendalikan perbelanjaan kad kredit berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here