DBKL nafi video tular banjir di KL Sentral

0
2

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan video tular di aplikasi TikTok sejak semalam, mengenai kejadian banjir yang kononnya berlaku di kawasan KL Sentral.

Menerusi kenyataan di Facebook, DBKL berkata, sehingga jam 2 petang tadi tidak berlaku kejadian seperti mana yang dilaporkan dalam video terbabit.

“DBKL ingin menafikan satu hantaran di TikTok mengenai kejadian banjir yang telah berlegar di media sosial sejak semalam.

“Sehingga jam 2 petang 25 Mei 2022 (hari ini), tidak berlaku banjir di kawasan KL Sentral seperti yang digambarkan,” menurut DBKL.

Menurut kenyataan itu lagi, petugas DBKL sentiasa bersiap siaga di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti bagi memastikan kelancaran trafik serta memastikan kejadian air bertakung dapat diipulihkan dengan segera.

“DBKL juga sentiasa mengemaskini situasi semasa di media sosial termasuk memaklumkan lokasi-lokasi kejadian banjir kilat terkini,” katanya.

Sementara itu, hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat.

Polis Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, antara lokasi dinaiki air ialah Jalan Ipoh menyebabkan laluan ditutup sementara dari arah Bulatan Pahang ke Jalan Ipoh.

Laluan lain yang dinaiki air ialah Jalan Sultan Azlan Shah dari Jalan Ipoh, Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang.

Turut dinaiki air ialah Jalan Kampar off Jalan Sentul, Bulatan Dato, Kampung Periuk, Jalan Duta Mas, Jalan Ampang serta Jalan Dang Wangi.

Bagaimanapun, kesemua laluan berkenaan masih boleh dilalui kenderaan dan polis sedang menjalankan pemantauan di lokasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here