CEUPACS menyangkal dakwaan sesetengah pihak berhubung kegagalan Jabatan Imigresen di seluruh negara tidak melaksanakan penambahbaikan bagi mengatasi situasi luar jangkaan ketika ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata dakwaan itu tidak berasas dan pihaknya telah turun padang melihat situasi dan gambaran sebenar kesesakan Jabatan Imigresen terutamanya di Johor.
Menurutnya, kesesakan ketika ini difahamkan berpunca peningkatan mendadak permintaan untuk urusan pasport disebabkan pintu sempadan negara mula dibuka pada 1 April lalu.
“Kesesakan ini mengakibatkan ramai pelanggan tidak berpuas hati sehingga menularkan perkara ini ke media sosial tanpa informasi betul sehingga menjatuhkan kredibiliti Jabatan Imigresen.
“CUEPACS berharap orang ramai bertenang dan tidak menularkan perkara tersebut tanpa mendapatkan maklumat jelas mengenai situasi ketika ini.
“CUEPACS sendiri turun padang di UTC Johor Bahru bagi melihat situasi dan gambaran sebenar permasalahan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan menjelaskan, pihaknya dimaklumkan Jabatan Imigresen di seluruh negara telah melanjutkan waktu operasi sehingga 10 malam sejak 11 Mei lalu bagi mengatasi masalah tersebut.
“Malah semua operasi Jabatan Imigresen di UTC di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis turut dilanjutkan operasi sehingga 10 malam, selain semua pejabat pasport di Semenanjung beroperasi pada Sabtu sehingga 12.30 tengah hari,” katanya.
Sementara itu Adnan menegaskan, kebajikan kakitangan Jabatan Imigresen perlu diberi perhatian memandangkan terpaksa bekerja lebih masa dan lebih banyak berada di pejabat daripada di rumah.
“Bagaimanapun CUEPACS berharap kerajaan terutama ketua jabatan masing-masing turut sama memberi perhatian mengenai kebajikan dan keselamatan kakitangan Jabatan Imigresen.
“Mereka ini ada yang mula bekerja seawal 4.30 pagi dan pulang lewat malam sehingga terpaksa mengabaikan keluarga dan urusan sendiri.
“Susun aturlah penggunaan sumber manusia dengan sebaiknya agar tidak berlaku tekanan kerja dalam kalangan kakitangan,” katanya. – Malaysiapost

