Kes HFMD meningkat 20 kali ganda 

0
1

SEJUMLAH 47,209 kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) direkodkan, setakat 21 Mei tahun ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 20 kali ganda berbanding tempoh sama pada 2021 yang hanya mencatatkan 2,237 kes.

Menurutnya, bagi kes dilaporkan bagi minggu epidemiologi (ME) 20/2022 adalah 15,548 kes berbanding ME 19/2022 iaitu hanya 7,526 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 106.6 peratus.

“Peningkatan kes pada ME 20 telah dijangkakan berikutan pergerakan penduduk Malaysia semasa sambutan hari raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sehingga 21 Mei, Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri- lain iaitu 13,640 kes (28.9 peratus).

“Ia diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebanyak 6,206 kes (13.1 peratus), Perak 4,099 kes (8.7 peratus), Kelantan 3,726 kes (7.9 peratus) dan Sabah 3,352 kes (7.1 peratus).

“Sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 2,500 kes,” katanya.

Beliau berkata, kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 43,736 kes (93%).

“Ia diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 2,765 kes (6%). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu 696 kes (1%),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) di Malaysia, tiga virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022 adalah Coxsackie A16 (CA16), Coksackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71).

“Pada 2022, sehingga kini, terdapat dua kes HFMD positif EV71 yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis). 

“Kedua-dua kes tersebut adalah kanak-kanak berumur bawah enam tahun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here