Tren rosak dikeluarkan dari perkhidmatan LRT – Ka Siong

0
2

KEMENTERIAN Pengangkutan telah meneliti insiden gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya pada 20 Mei lalu dan memberi jaminan kejadian itu tidak membahayakan keselamatan penumpang.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, insiden kali kedua yang berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan itu sudah pasti membuatkan ramai pengguna kecewa.

Beliau berkata, kejadian yang berlaku pada waktu puncak Jumaat lepas telah menjejaskan lebih 22,000 penumpang.

“Ini adalah insiden kali kedua berlaku dalam tempoh tak sampai sebulan, akibat masalah angkup brek (brake caliper) yang tidak berfungsi ketika tren sedang beroperasi, menjadikan tren tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

“Sebagai Menteri Pengangkutan, saya telah meneliti isu ini sejurus dimaklumkan pada hari Jumaat lalu.

“Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa insiden tersebut tidak membahayakan keselamatan penumpang ketika ianya berlaku kerana adanya sistem amaran awal dalam pengoperasian tren,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, sehubungan itu, tren yang terlibat telah pun dikeluarkan serta-merta daripada perkhidmatan sebaik sahaja Pusat Operasi Kawalan (OCC) mendapat notifikasi bahawa terdapat masalah brek pada jam 4.46 petang, 20 Mei lalu.

“Tiada kejadian tren berhenti secara mengejut dan tiada kecederaan melibatkan penumpang. Walau bagaimanapun, kami memahami kesulitan yang terpaksa dihadapi para penumpang lebih-lebih lagi ketika waktu puncak.

“Oleh yang demikian, pelan laluan alternatif menggunakan satu landasan diaktifkan dan perkhidmatan bas perantara percuma disediakan bagi membawa penumpang yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, melalui sistem sedia ada, OCC akan dimaklumkan mengenai amaran awal, sebelum ianya berlaku yang berupaya mengundang risiko atau menyebabkan kerosakan.

“Kejadian pada 20 Mei ini sama seperti 10 Mei sebelumnya. Amaran awal memberitahu OCC supaya mengambil tindakan awal dan segera untuk melindungi penumpang.

“Sebagai sebahagian daripada protokol keselamatan Rapid Rail Sdn Bhd, tren tersebut segera dikeluarkan daripada perkhidmatan untuk menjalani pemeriksaan dan baikpulih,” katanya.

Terdahulu media melaporkan ribuan penumpang yang menggunakan LRT pada Jumaat lalu mengalami penangguhan perjalanan selepas perkhidmatan awam itu mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan.

Gangguan itu berlaku pada waktu puncak iaitu ketika orang ramai mahu pulang ke rumah selepas habis bekerja iaitu kira-kira jam 5 petang dan tular di media sosial selepas ramai penumpang tidak dapat meneruskan perjalanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here