MENTERI Kanan Kesihatan Khairy Jamaluddin dilantik sebagai seorang daripada lima Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75 yang kini sedang berlangsung di Geneva, Switzerland.
Empat lagi wakil lain yang dipilih adalah dari Bulgaria, Indonesia, Togo dan Amerika Syarikat.
Berita itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang kini bersama Khairy di Geneva bagi menghadiri persidangan yang bermula 22 hingga 28 Mei ini.
Dr Noor Hisham turut berkongsi video pengumuman perlantikan berkenaan di laman Facebooknya.
“Tahniah kepada Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin atas pelantikan sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 mewakili Wilayah Pasifik Barat (WPR).
“Menteri Kesihatan akan menyertai empat lagi Naib Presiden dari wilayah masing-masing pada perhimpunan itu, yang dihadiri oleh 194 negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setiap tahun.
“Di samping itu, YB Menteri Kesihatan juga berkhidmat dalam Lembaga Eksekutif WHO dari 2021 hingga 2024 untuk WPR,” katanya.
Menurutnya, WPR adalah salah satu daripada enam wilayah WHO dan merangkumi 37 negara dan kawasan yang mempunyai lebih daripada satu perempat daripada penduduk dunia.
“WPR menjangkau dari Mongolia di Asia tengah, timur ke Kepulauan Pitcairn di Lautan Pasifik dan selatan ke New Zealand.
“Kali terakhir Malaysia memegang jawatan Naib Presiden WHA ialah pada 2016, diwakili oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan pada 2004, diwakili oleh Tan Sri Dr Chua Soi Lek.
“Pemilihan ini merupakan satu penghormatan besar buat Malaysia, khususnya Kementerian Kesihatan dan semua petugas barisan hadapan yang berkorban masa dan tenaga sepanjang pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

