PGA Semenyih rampas 6,200 karton rokok tidak bercukai

0
1

BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih, Selangor berjaya mematahkan cubaan penyeludupan rokok tidak bercukai dalam satu serbuan di Bandar Rinching, Semenyih semalam dan merampas 6,200 karton rokok pelbagai jenama.

Serbuan kira-kira jam 8.30 pagi itu turut berjaya menahan empat suspek membabitkan tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 37 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Superintendan Rizal Mohamed, berkata pihaknya juga menyita tiga kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan rokok tidak bercukai berkenaan.

“Semasa serbuan dilakukan subjek sedang memunggah barangan berupa guni ke dalam kenderaan. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan, telah menemui rokok yang dipercayai diseludup dan tidak bercukai pelbagai jenama.

“Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas sebanyak adalah 6,200 karton dengan anggaran nilai barang berjumlah RM558,240, manakala nilai cukai berjumlah RM578,544.

“Turut dirampas tiga kenderaan dan juga empat telefon bimbit bernilai RM171,950. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,308,734,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kesemua tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Semenyih dan Kajang, Selangor.

“Masyarakat diminta agar memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here