Pemandu Bezza merah diminta buat laporan polis

0
1

PEMANDU kenderaan Perodua Bezza warna merah, yang videonya tular kerana dipercayai memandu secara merbahaya dengan mengubah haluan serta mengundurkan kereta hingga melanggar kenderaan lain, diminta tampil membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, berkata siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku jam 11.59 pagi, kelmarin membabit kenderaan tersebut dan Perodua Aruz.

Bagaimanapun, katanya pemandu Perodua Aruz telah hadir membuat laporan polis.

“Justeru, JSPT KL masih mengesan pemandu kenderaan Bezza merah itu untuk tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, video berdurasi satu minit 23 saat dimuatnaik pengguna Facebook Mohd Fikri Zaarisham di laman DashCam Owners Malaysia yang memaparkan kejadian kemalangan tersebut yang berlaku di Jalan Kinabalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here