Peralihan endemik, pengeluaran khas KWSP antara faktor tambang e-Hailing naik

0
1

HARGA tambang e-Hailing meningkat kerana industri tersebut berkonsepkan pasaran terbuka yang bercirikan permintaan dan penawaran untuk menentukan kadar tambang perkhidmatan.

Ketua Aktivis e-Hailing, Jose Rizal, berkata peningkatan harga tambang e-Hailing berkemungkinan disebabkan oleh faktor musim perayaan, kelulusan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan peralihan fasa endemik.

“Ianya juga lebih telus kerana pengguna sudah dimaklumkan berkenaan anggaran kadar harga tambang sebelum menyetujui untuk menggunakan perkhidmatan e-Hailing.

“Sebenarnya tidak timbul isu-isu lonjakan harga kerana pengguna e-Hailing boleh memilih untuk bersetuju atau tidak dan terdapat 32 tawaran operator aplikasi e-Hailing di pasaran Malaysia setakat April 2022 yang diluluskan operasinya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia.

“Pengguna perlu lebih terbuka dan tidak hanya bergantung kepada satu atau dua jenama aplikasi e-Hailing yang berkemungkinan dilihat membebankan pengguna e-Hailing. Jadilah sebagai pengguna yang bijak memilih penawaran yang terbaik mengikut kemampuan tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut mewakili Gabungan e-Hailing Malaysia dan Persatuan Kebajikan Pekerja Industri e-Hailing Malaysia.

Sementara itu, Jose berkata pihaknya juga mengingatkan kepada penggiat industri e-Hailing berkenaan tarikh penguatkuasaan berkenaan Inisiatif SPS Padanan Caruman yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkuatkuasa 1 Jun ini.

“Peringatan mesra untuk penggiat industri eHailing untuk mencarum dan menunaikan tanggungjawab sebagai penggiat industri e-Hailing Malaysia

“Harapan kami agar hal sebegini tidak dipanjangkan lagi kerana penggiat industri e-Hailing Malaysia secara keseluruhannya masih di dalam proses pemulihan disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia hampir dua tahun kebelakangan ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here