PELAKON Elfira Loy selamat melahirkan cahaya mata keduanya di sebuah pusat perubatan semalam.
Menerusi hantaran di Instagram, Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri memaklumkan selamat bersalin bayi perempuan sekitar jam 6.27 petang.
Menurut Elfira atau mesra disapa El, yang lebih manis bagi kelahiran kali ini apabila suaminya, Farish Khairol Anuar turut serta ‘menyambut’ bayi mereka.
“Saya ada banyak gambar menarik. Tapi saya sukakan yang ini. Subhanallah, ayah seperti seorang adiwira.
“Menangis mommy tengok ayah sambut awak sendiri ketika mommy mahu melahirkan awak. Alhamdulillah. Ini satu pengalaman menakjubkan,” katanya dalam hantaran itu.
Tinjauan di ruangan komen, rakan-rakan selebriti seperti Mira Filzah, Nabila Razali, Siti Saleha, dan Janna Nick menitipkan doa dan rasa syukur atas kelahiran cahaya mata kedua pasangan itu.
Elfira dan Farish mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2019 dan memiliki anak lelaki, Rayyan yang kini berusia dua tahun. – Malaysiapost

