SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan telah selesai melakukan siasatan kes melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
SPRM dalam kenyataan berkata, siasatan yang bermula sejak Mac lalu telah dilengkapkan dengan mengumpulkan bukti-bukti berkaitan mengikut panduan dan prosedur yang ditetapkan.
“Sehubungan itu, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei 2022 lalu untuk kajian dan arahan selanjutnya,” menurut kenyataan itu hari ini.
SPRM sebelum ini dilaporkan sudah membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan ia prosedur biasa selepas agensi itu menerima laporan secara rasmi.
Pada 21 April lalu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin.
Kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia Istana Kehakiman Putrajaya berkata, artikel ditulis oleh Raja Petra bertajuk ‘Judge Mohd Nazlan being investigated for unexplained RM1 million in his bank account’ yang disiarkan di sebuah portal adalah palsu dan tidak berasas. – Malaysiapost

