Pemilihan PKR : Hans Isaac, Altimet jadi perhatian di Ampang

0
1

SESI pengundian pemilihan PKR di Cabang Ampang paling menarik perhatian selepas dua daripada tujuh calon ketua cabang adalah dua selebriti, Datuk Hans Isaac dan penyanyi rap, Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.

Mereka dilihat berada di tempat pengundian sejak pagi bersama lima lagi calon yang merebut jawatan sama, iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, Abdul Halim Mohamed Yusof, Daeng Muhammad Reduan Bachok dan Abdul Latif Shaari.

Cabang Ampang sebelum ini diketuai Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebelum beliau keluar parti dan menyertai Bersatu.

Sementara itu, pemilihan di Cabang Sungai Buloh sedikit kecoh apabila ahli parti saling tolak-menolak selepas pintu pagar Dewan Serbaguna Kota Damansara dibuka jam 9 pagi.

Calon Ketua Cabang Sungai Buloh, R Sivarasa bagaimanapun berkata, tiada sebarang insiden pergaduhan dilaporkan dan perjalanan pengundian berlangsung dengan baik, walaupun sedikit lewat dalam proses menunggu untuk mengundi.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati, tetapi ada beberapa pelanggaran proses membabitkan pembukaan khemah calon. 

“Sepatutnya khemah dibuka 200 meter dari pagar dewan mengundi, tetapi ada yang buka tidak sampai 100 meter. Ini akan kita adukan kepada JPP,” katanya memetik Berita Harian.

Sivarasa juga merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Beliau yang bertanding mempertahankan jawatan ketua cabang ditentang tiga calon, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk R Ramanan dan bekas Naib Ketua Cabang Subang, Mohd Majeman Nyono.

Terdahulu, media melaporkan pengundian di Cabang Hulu Selangor pula ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian selepas pusat pengundian dilaporkan kosong tanpa sebarang kemudahan mengundi, termasuk kerusi dan meja seperti dikongsikan Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here