BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa berdasarkan maklumat yang diterimanya beberapa hari lalu, kerajaan kini dalam usaha menyediakan pakej untuk membantu Sapura Energy Berhad.
Ahli Parlimen Pekan itu turut memuatnaik di laman Facebook, artikel daripada media bisnes The Edge yang melaporkan mengenai perkembangan terbaharu itu.
“Media Bisnes The Edge lapor bahawa Kementerian Kewangan melalui sebuah syarikat miliknya sedang sediakan pakej untuk membantu Sapura Energy dan pengumuman akan dibuat tak lama lagi.
“Ini juga maklumat sama yang saya terima beberapa hari lalu,” katanya.
Beliau berharap, kerajaan sama ada melalui Petronas atau tidak, akan mengaut keuntungan yang besar daripada usaha pemulihan Sapura, sebagaimana kerajaan Amerika Syarikat (AS) untung berpuluh bilion US Dollar ketika kerajaan itu menyelamat syarikat Citibank dan AIG.
“Melihat masalah jangka masa pendek syarikat Sapura serta industri minyak dan gas dunia secara keseluruhan ketika ini, peluang bagi kerajaan mengaut keuntungan berbilion-bilion adalah cerah,” katanya.
Dalam Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Mei lalu, Najib mencadangkan supaya Petronas mengambil alih syarikat Sapura Energy.
Menurutnya, langkah itu perlu dilaksanakan segera kerana tanpa sebarang tindakan sehingga 10 Jun ini, syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) kedua terbesar dunia mungkin diisytiharkan muflis.
Beliau turut mengsyorkan syarikat itu diselamatkan melalui pinjaman bank yang dijamin kerajaan.
Katanya, penyelamatan Sapura Energy sebenarnya tidak menggunakan duit rakyat, sebaliknya akan menyelamatkan 10,500 anak tempatan yang berkemahiran dan 3,000 vendor tempatan. – Malaysiapost

