PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam dijemput memberi ucapan sempena Majlis Makan Malam meraikan delegasi peserta terdiri dari ulama-ulama seluruh dunia.
Ia sempena Muslim Scholar Summit anjuran Yayasan MyAqsa di Sepang.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, beliau berkesempatan bertemu Menteri Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin, Sheikh Hatem Mohammad Helmi dan delegasi ulama dari Palestin.
“Banyak perkara dapat dibincangkan khususnya berkenaan nasib Palestin dan saya tegaskan bahawa kita tidak pernah berhenti menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan negara mereka dari kekejaman Rejim Zionis.
Sheikh Omar Awadallah juga menggesa agar satu usaha dilakukan untuk menubuhkan satu badan melibatkan beberapa negara seperti Palestin, Malaysia, Turki, Indonesia dan Pakistan bagi membantu Palestin dari pelbagai aspek secara lebih berkesan selepas ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid berharap hasil buah fikiran Muslim Scholars Summit 2022 ini akan menjadi pemangkin kepada pembebasan Palestin hasil kesatuan dan kesungguhan umat Islam yang mahu melihat kekejaman Zionis Israel akan berakhir.
Turut hadir, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharum dan Duta Palestin, Walid Abu Ali. – Malaysiapost

