PENDAKWAH bebas, Wan Ji Wan Hussin dilaporkan mengalami pendarahan luar otak dan beberapa kecederaan lain susulan terlibat dalam kemalangan jalan, 14 Mei lalu.
Perkara itu dikongsikan Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) PKR menerusi Facebook yang memaklumkan beliau terlibat nahas di Johor ketika pulang menghadiri satu program.
“Ustaz Wan Ji adalah seorang ilmuan muda yang aktif berkongsi ilmu dan mencerahkan rakyat. Beliau juga pendakwah bebas yang mahir dalam bidang maqasid syariah dan aktif berdialog dengan non muslim.
“Pada 14 Mei 2022, Ustaz Wan Ji mengalami kemalangan jalan raya sejurus pulang dari menghadiri program ilmu di Johor.
“Difahamkan beliau mengalami pendarahan luar otak, juga beberapa kecederaan lain,” tulis hantaran tersebut.
Susulan itu BiPPA PKR melancarkan rayuan sumbangan untuk Wan Ji bagi meringankan beban keluarganya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran di Facebooknya berharap Wan Ji diberikan kesembuhan serta dipermudahkan urusan rawatannya.
Wan Ji, 40, adalah anggota PKR dan pernah menjadi pegawai di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di bawah Lim Guan Eng.
Wan Ji kemudian menubuhkan NGO yang bertumpu kepada dialog antara agama. – Malaysiapost

