SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke, berkata DAP Pulau Pinang telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, proses untuk mengenal pasti muka baharu untuk PRU15 telah pun dimulakan dan sesi temu bual akan dijalankan tak lama lagi.
“Proses untuk mengenal pasti muka baru untuk pilihanraya telah pun dimulakan dan sesi temu bual akan dijalankan tak lama lagi.
“Secara keseluruhannya, saya cukup yakin dengan kepimpinan Chow Kon Yeow menerajui Kerajaan Negeri dan DAP Pulau Pinang akan mampu mendapat sokongan berterusan dan mandat baru dari rakyat Pulau Pinang.
“Namun, semua pemimpin dan ahli DAP tidak boleh leka dan berpuas hati dengan pencapaian setakat ini tetapi terus berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk mendapat sokongan daripada rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Anthony berkata, dalam pertemuan itu juga Kon Yeow menerangkan berkenaan beberapa inisiatif dan projek pembangunan yang rancak dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Katanya, antara baharu yang sedang dilaksanakan ialah ‘Pas Mutiara’ yang terbuka kepada warganegara di Pulau Pinang di mana ia membolehkan pemegang kad menggunakan semua perkhidmatan bas Rapid Penang tanpa had secara percuma.
“Kad Mutiara ini diperkenalkan semasa saya berada di Kementerian Pengangkutan dengan menawarkan pas bulanan tanpa had dengan bayaran RM50 setiap bulan.
“Kini, Kerajaan Negeri menambahbaik inisiatif ini dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata satu lagi perkara yang sempat dilaksanakan untuk Pulau Pinang ketika memegang jawatan Menteri Pengangkutan ialah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk membenarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (PBPP) menubuhkan pasukan trafik warden.
Katanya, ianya bagi membolehkan PBPP mengawal lalu-lintas jalanraya. – Malaysiapost

