Krisis Umno Melaka: ‘Biasalah… laki bini pun bergaduh’ – Zahid

0
1

“TIDAK ada sebarang masalah melanda Umno Melaka” kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian mengulas spekulasi mendakwa wujud percubaan menyingkirkan Pengerusi Umno negeri itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ahmad Zahid pada masa sama mengakui ada bertemu dengan sekumpulan Ketua Umno Bahagian dari Melaka baru-baru ini, dan mengakui turut bertemu dengan Ab Rauf.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan ianya bukan kemelut luar biasa.

“Tak ada masalah apa-apa (di Melaka),” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Ditanya mengenai kemungkinan ada desakan untuk mengetepikan speaker Dewan Undangan Negeri Melaka itu daripada jawatan pengerusi Umno negeri, sambil ketawa Ahmad Zahid berkata: “Biasalah… laki bini pun bergaduh.”

Sebelum ini terdapat dakwaan beberapa Ketua Umno bahagian di Melaka dilaporkan cuba menggantikan Ab Rauf dengan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang juga Ketua Menteri negeri itu.

Mereka juga dikatakan bertemu dengan Ahmad Zahid untuk menyatakan hasrat tersebut baru-baru ini.

“Dah jumpa (ketua-ketua bahagian). Saya pun dah jumpa Datuk Rauf,” katanya sebagai reaksi kepada pertanyaan mengenai pertemuan tersebut.

Umno Melaka dipercayai sudah lama berdepan dengan isu dalaman, antara lain ekoran Ad Rauf didakwa mengintai jawatan ketua menteri yang disandang Sulaiman yang tidak memegang sebarang jawatan penting dalam kepimpinan parti di peringkat negeri.

Pusingan terbaharu spekulasi mengenai kemelut itu hadir kira-kira dua minggu lalu apabila ada khabar angin bertiup mendakwa Sulaiman dikhabarkan dipaksa meletak jawatan.

Ketua menteri itu bagaimanapun menafikan khabar angin tersebut, manakala Rauf pula menganggapnya sekadar ‘tuduhan liar’.

Susulan itu keadaan berbalik pula apabila ada beberapa pemimpin Umno di peringkat bahagian di Melaka dilaporkan mahu Sulaiman menggantikan Ab Rauf sebagai pengerusi perhubungan negeri.

Langkah awal diambil Umno Alor Gajah yang mengadakan mesyuarat bahagian dan mencadangkan Sulaiman dilantik sebagai Ketua Perhubungan Umno Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here