DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan akan ke Jakarta akhir bulan ini bagi memulakan tugasnya sebagai Duta Malaysia ke Indonesia.
Beliau mengesahkan perkara itu kepada Malaysiapost, sebentar tadi: “Ya, benar,” katanya ringkas.
Difahamkan, daripada sumber diplomatik, pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Indonesia.
Sebelum ini, spekulasi pelantikan Tajuddin sebagai Duta Malaysia ke Indonesia bertiup kencang ketika beliau turut serta dalam rombongan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke republik itu, awal November tahun lalu.
Malah, Tajuddin ketika itu ditanya tidak menafikan atau mengesahkan spekulasi berkenaan.
Manakala, Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta memaklumkan ia masih lagi khabar angin dan pejabat di Kementerian Luar Negeri Malaysia enggan memberi sebarang komen.
Tajuddin akan menggantikan Datuk Zainal Abidin Bakar yang menyandang jawatan itu pada 2019, selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan dan sebagai sebahagian daripada dasar tiada lantikan politik untuk jawatan diplomatik. – Malaysiapost

