Selepas 19 tahun berkongsi hidup, Ellie dan Azri sah bercerai

0
1

PASANGAN pelakon ternama, Ellie Suriaty Omar dan Azri Iskandar sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini selepas 19 tahun mendirikan rumah tangga bersama.

Azri, 54, melafazkan talak satu kepada Ellie pada jam 9.34 pagi tadi.

Memetik laporan Astro AWANI, Ellie secara jujur mengakui, perceraian itu diperoleh atas permintaannya.

Pada Ramadan lalu, aktres berjiwa besar itu nekad mengemukakan perceraian di mahkamah berkenaan selepas empat tahun dia mengambil masa memikirkan semasak-masaknya.

“Bukan sehari dua keputusan ini saya ambil, sudah empat tahun. Keputusan ini bukan saya buat dalam keadaan marah, kecewa atau secara tergesa-gesa.

“Percayalah, sudah terlalu banyak hal yang saya fikirkan dan pertimbangan yang saya buat sebelum meminta Azri melepaskan saya,” kata Ellie ketika dihubungi sebaik selesai urusan perceraian di mahkamah.

Dalam nada sangat tenang namun sesekali kedengaran sebak, Ellie, 52, memberitahu, sebelum perceraian difailkan, dia dan Azri sudah duduk berbincang secara matang untuk mencari kata sepakat.

Ellie dan Azri turut sepakat, dalam urusan penjagaan kedua-dua anak mereka.

“Saya amat-amat menghormati Azri sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang ayah kepada anak-anak kami. Dia begitu matang mengendalikan kemelut rumah tangga kami dan Alhamdulillah, perceraian antara kami berlangsung dalam suasana yang sangat murni tanpa sebarang masalah.

“Janji kami, yang berpisah adalah kami berdua, namun, anak-anak akan terus mendapat perhatian dan kasih sayang. Kami sepakat anak-anak tidak boleh menjadi mangsa perceraian,” kata Ellie.

Perkahwinan yang dibina pada 2003 antara Ellie dan Azri, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13 serta dua lagi yang telah meninggal dunia sebelum sempat dilahirkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here