Mukhriz bantah selamatkan Sapura walaupun penting sebab Najib yang cadangkan – Najib

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, membantah usaha menyelamatkan Sapura Energy Bhd (Sapura) semata-mata kerana ia adalah cadangan daripadanya.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, Mukhriz membantah hanya kerana cadangan itu datang dari orang yang sudah hilang hak untuk komen apa sekalipun khususnya berkenaan ekonomi, kewangan negara, nasib rakyat dan kepentingan Melayu.

“Dua hari lalu dia kata: “Walaupun ada ruang rizab negara digunakan untuk menyelamatkan syarikat bagi tujuan strategik yang memberi manfaat kepada negara, semestinya ia tidak terpakai bagi syarikat yang punca masalahnya ialah pengurusan yang tidak amalkan etika kerja dan tadbir yang baik,” Sebab itu, dia kata Sapura tak patut diselamatkan.

“Saya pun jawab semalam dengan menyenaraikan banyak contoh bail-out tidak menjadi dibuat ayah dia. Saya juga tunjukkan bahawa “pengurusan yang tidak amalkan etika kerja dan tadbir yang baik” termasuk abang dia Mokhzani yang menjawat sebagai timbalan pengerusi Sapura sehingga meletak jawatan sebelum PRU-14

“Dan juga Jalil Rasheed yang dilantik pengerusi Sapura pada awal tahun 2020 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa ayah dia Perdana Menteri (PM),” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Najib berkata demikian berdasarkan satu kenyataan yang didakwa dibuat oleh Mukhriz dan dimuat naik di laman Facebook Mukhriz Mahathir FC, semalam.

Berdasarkan kenyataan itu, Ahli Parlimen Jerlun berkenaan dikatakan tidak mempertikaikan cadangan untuk membantu sekalipun sampai ketahap ‘bail-out’ syarikat tempatan dengan menggunakan dana awam jika ianya dianggap strategik.

“Cuma dia bantah selamatkan Sapura walaupun penting dan strategik bagi negara sebab Najib yang cadangkan.
Perangai ayah dan anak sama je. Terlebih di suap kek,” kata Najib.

Terdahulu Mukhriz dalam satu kenyataan Ahad lalu, menyeru rakyat, khususnya orang Melayu, harus bangkit menyanggah kenyataan Najib semasa berdebat dengan Presiden Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Petronas patut menyelamatkan (bail out) Sapura.

Menurutnya, cadangan itu membuktikan sekali lagi sikap Najib dan kepimpinan Umno yang tanpa segan silu dan berasa malu ingin menyalahgunakan dana rizab negara untuk perkara- perkara yang bercanggah dengan tujuan mutlak adanya rizab itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here