Umno, PAS perlu guna cara lain kurangkan ketegangan politik akar umbi

0
1

UMNO dan PAS perlu mencari kaedah lain untuk mengurangkan ketegangan politik antara ahli kedua-dua parti sekiranya gagasan Muafakat Nasional (MN) terkubur.

Perkara itu dicadangkan bekas Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang berkata, sekiranya MN gagal, masih ada cara lain yang boleh mengharmonikan hubungan akar umbi kedua-dua parti.

“Saya sebagai bekas ahli Pas dan yang terlibat dalam pembentukan MN, saya rasa yang penting ialah membina kesatuan umat dalam apa jua bentuk sekali pun.

“Umno adalah satu parti yang besar dan Pas juga adalah satu parti Melayu yang besar tentulah akan jadi tonggak dalam apa saja bentuk kesatuan itu.

“Kalau kita tidak berjaya kesatuan menerusi MN, kita boleh guna cara yang lain,” katanya dipetik Malaysiagazette, hari ini.

Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus menegaskan, kedua-dua parti perlu ambil iktibar daripada sejarah silam yang menyaksikan hubungan sesama Islam dan Melayu sentiasa berantakan di kalangan Pas dan Umno.

“Antaranya ialah mengurangkan ketegangan politik kerana itu adalah tujuan asas MN kerana ketegangan politik antara ahli ini berlaku begitu lama dari tahun awal penubuhan Pas lagi, kemudian Pas dikeluarkan daripada BN 1978, ketegangan sangat berlaku.

“Jadi perlu diusahakan kesatuan seumpama ini lah. Bagi saya MN tak boleh kita guna cara lain. Yang pentingnya kurangkan ketegangan politik ahli-ahli parti.

“Walaupun berbeza politik, berbeza pendirian, berbeza pendekatan, ia tidak wajar menjadi sebab dicarikkan persahabatan dan persaudaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairuddin juga mencadangkan Umno dan Pas berunding pada setiap kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) menangguk di air keruh sekali gus memenangi pertembungan kerusi tiga penjuru.

“Yang kedua kita kena tengok pada kerusi yang dipertandingkan. Ada kerusi pertembungan tiga penjuru, Umno masuk, Pas pun masuk maka yang menang ialah PH.

“Maka Umno dan Pas perlu berunding pada hal seumpama itu, maknanya bukanlah secara dasar berunding tetapi berunding pada kerusi yang mana untuk menguntungkan kedua-dua pihak.

“Maknanya, Umno nak masuk, Pas jangan masuk, kalau Pas nak masuk Umno janganlah masuk. Itu berunding kerusi namanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here