SERAMAI 70 pengunjung kawasan rekreasi Air Terjun Laman Tiga budaya, di Asahan, Melaka hari ini cemas akibat terperangkap berikutan arus deras berpunca daripada kejadian kepala air.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 tengah hari daripada orang awam sebelum jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin bergegas ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat awal diterima mangsa membabitkan 70 individu, sejurus sampai di lokasi kami terus melakukan persediaan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap.
“Setakat jam 3 petang tadi pasukan operasi berjaya menyelamatkan 30 mangsa manakala baki 40 orang lagi masih terperangkap,” katanya seperti dilaporkan Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, diharapkan operasi menyelamatkan kesemua mangsa berkenaan berjalan lancar berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini. – Malaysiapost

