KERAJAAN tidak sepatutnya menghalang penggunaan kenderaan mikromobiliti sepenuhnya jika berhasrat menggalakkan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam.
Sebaliknya, menurut Datuk Seri Najib Razak, kerajaan boleh mengenakan beberapa syarat penggunaan mikromobiliti bagi memudahkan pergerakan orang ramai di dalam bandar.
“Sekiranya berhasrat untuk menjayakan pengangkutan awam yang menerima pelaburan begitu besar bagi mengurangkan kesesakan trafik dalam bandar maka kerajaan tidak patut pukul sama rata dengan menghalang penggunaan mikromobiliti.
“Hubungan ‘first mile’ dan ‘last mile’ yang optimum, berkesan dan cekap untuk pengguna adalah sangat penting bagi kejayaan pengangkutan awam seperti bas, LRT, monorail KTM komuter dan MRT.
“Kita ada lima cara yang dibenarkan untuk bergerak dalam bandar – berjalan kaki, berbasikal, bermotosikal, kereta dan bas,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran itu, bekas Perdana Menteri itu turut berkongsi beberapa idea bagi menjayakan penggunaan mikromobiliti terutamanya di bandar-bandar besar.

“Bagi memudahkan penggunaan mikromobiliti, kerajaan boleh meletakkan syarat bahawa setiap model mikromobiliti yang ingin dijual di Malaysia perlu diluluskan ciri keselamatannya dan dikategorikan mengikut lima cara pengangkutan yang saya sebut tadi.
“Jenis mikromobiliti kecil yang perlahan dan tidak berbeza banyak dengan berjalan kaki dibenarkan untuk digunakan di laluan pejalan kaki.
“Mikromobiliti yang lebih dekat dengan basikal pula dibenarkan untuk digunakan di laluan basikal sedia ada dan seterusnya.
“Dan jika masih bimbang bahawa pengguna mikromobiliti tidak akan bertanggungjawab dan akan mengganggu pengguna jalan raya atau lalu lintas pejalan kaki maka letaklah penalti atau hukuman yang lebih berat,” jelasnya.
Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu juga menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya menghalang penggunaan mikromobiliti, sebaliknya memudahkan cara ianya digunapakai.
“Selaras dengan pendirian ini, kerajaan BN (Barisan Nasional) masa saya PM (Perdana Menteri) banyak memberi tumpuan kepada bas, jejantas dan walkway dalam bandar yang berhawa dingin atau berkipas.
“Penggunaan kenderaan mikromobiliti mampu memainkan peranan yang sangat penting bagi menjayakan lagi hubungan first mile dan last mile.
“Sebab itu, pandangan saya ialah kerajaan hari ini patut memudahkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan mikromobiliti, bukan menghalangnya,” katanya.
Buat masa ini, Kementerian Pengangkutan telah menetapkan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti merangkumi tiga kategori di atas jalan raya berkuat kuasa 23 April lalu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan, tiga kenderaan mikromobiliti jenis Moped, Personal Mobility Devices (PMD) dan Personal Mobility Aids (PMA) adalah dilarang penggunaannya di atas jalan raya. – Malaysiapost

