
UMNO menunjukkan isyarat jelas kepada rakyat bahawa parti itu serius memperjuangkan kestabilan politik dalam negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Mohd Razlan Rafii, berkata keputusan sebulat suara menyokong pindaan perlembagaan parti itu semalam membuktikan Umno serius mahukan kestabilan dalam segala aspek.
“Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas ini telah menunjukkan kestabilan dalam Umno sekali gus memberi semangat yang baik kepada rakyat Malaysia sedang parti-parti pembangkang bergelut dengan pertelingkahan antara satu sama lain.
“Umno tetap satu nada iaitu mahukan kestabilan. Jadi ini merupakan satu semangat yang kita akan bawa pada pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.
Mohd Razlan juga menegaskan, kestabilan yang wujud dalam Umno bakal dinikmati seluruh rakyat Malaysia jika Umno kembali merampas tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
“Maksudnya, apabila kestabilan wujud dalam Umno, sudah pastinya kestabilan dalam pemerintahan negara kita yang akhirnya rakyat akan dapat manfaat daripadanya.
“Umno telah menunjukkan kematangan politik, kita dapat mewujudkan kestabilan dalam parti kita sedangkan DAP dan PKR sedang bergelut untuk mendapatkannya. Kita menunjukkan semua orang bersatu hati untuk mendapatkan kestabilan negara kita nanti, Insyallah,” katanya.
Pada PAU Khas semalam, sokongan sebulat suara diterima daripada perwakilan Umno untuk meminda perlembagaan bagi membenarkan pemilihan parti itu diadakan selepas PRU-15. – Malaysiapost
