Pinda Perlembagaan Umno, bukan ‘saja-saja’ dibuat – Tengku Adnan

0
1

PERHIMPUNAN Agung Khas Umno bagi meminda Perlembagaan parti bukan perkara yang ‘saja-saja’ dibuat, sebaliknya ia sudah diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno lalu.

Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata perkara itu jelas mempamerkan ‘kecantikan’ Umno yang mempunyai organisasi, berinstitusi dan mempunyai Perlembagaan yang jelas.

“Kesatuan dalam kalangan ahli-ahli Umno juga amat murni apabila keputusan dilakukan secara perbincangan.

“Dari mesyuarat peringkat Cawangan dibawa ke Bahagian dan diangkat dalam persidangan perwakilan ribuan Perhimpunan Agung Umno,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Jelasnya lagi, Umno adalah parti yang akur dengan perundangan dan menghormati suara kesepakatan.

“Perhimpunan Agung Umno Khas adalah urusan rasmi mengikut RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) bagi meminda Perlembagaan untuk disesuaikan dengan keputusan dalam Perhimpunan Agung Umno 2021 agar pemilihan dibuat selepas pilihan raya.

“Umno bukan parti sembarangan, mempunyai aturan dan peraturan, sebagaimana ditubuhkan atas hasrat demi agama, bangsa dan negara maka kemurnian cita-cita adalah manifestasi kelevanan parti biarpun telah 76 tahun usianya,” katanya.

Justeru, Tengku Adnan meminta semua pihak menghormati institusi yang ada dalam Umno, selain menggesa ahlinya memelihara kebersamaan yang ada.

“Parti kita ini adalah wadah dalam meneruskan kesinambungan perjuangan dari dulu, untuk hari ini dan demi masa hadapan,” katanya.

Hari ini, satu lagi sejarah bakal tercatat dalam tempoh 76 tahun penubuhan Umno apabila parti itu akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pindaan perlembangaan itu akan dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here